+603 2603 7700
EN BM

SME Bank Lancar Pertandingan SME Bank Sandbox 2023

KUALA LUMPUR : 7 Mac 2023

SME Bank menjemput semua usahawan dan pelajar Kolej/Universiti untuk menyertai Pertandingan *SME Bank Sandbox 2023 bagi mencari idea perniagaan mampan yang inovatif dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM160,000.

Pertandingan SME Bank Sandbox 2023 bertujuan untuk menggalakkan dan menyokong pembangunan idea perniagaan inovatif yang mengutamakan impak sosial atau alam sekitar yang positif di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-12 (SDG 12): Penggunaan dan Pengeluaran yang Mampan. Ini bertujuan untuk melahirkan penyelesaian yang sesuai bagi penggunaan dan corak pengeluaran, yang merupakan kunci untuk mengekalkan mata pencarian generasi sekarang dan akan datang.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, ‚ÄúPertandingan SME Bank Sandbox 2023 adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif kami yang sejajar dengan rangka kerja SDG SME Bank, dan mencerminkan dedikasi kami ke arah mempromosikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Dengan mewujudkan kesedaran dan pemahaman tentang amalan mampan ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengutarakan idea kreatif dan inovatif terbaik melalui persaingan yang sihat, kami juga berhasrat untuk memupuk pembangunan perusahaan sosial (S.E) yang akan memacu perubahan positif dan membina masa depan yang lebih hijau untuk kita semua."

Pertandingan SME Bank Sandbox 2023 ini dibuka kepada dua kategori: Terbuka dan Pelajar Kolej/Universiti. Peserta yang berminat boleh memuat turun bahan pra-pembelajaran pertandingan yang akan memberi gambaran keseluruhan tentang cara menyediakan cadangan perniagaan. Borang pertandingan juga akan menyediakan panduan langkah demi langkah yang menggariskan idea perniagaan S.E, penerangan produk atau perkhidmatan, sasaran khalayak, masalah sosial atau alam sekitar yang ingin ditangani, dan potensi impak yang ingin dicapai melalui cadangan tersebut.

Peserta juga dikehendaki memuatnaik video berdurasi 2 minit bagi mempamerkan kelebihan idea mereka yang layak untuk disenarai pendek ke pembentangan akhir serta mendemonstrasikan kreativiti dan semangat mereka.

Tarikh akhir penyertaan ialah pada 25 Jun 2023. Panel hakim akan menyemak semua penyertaan dan memilih 20 idea perniagaan terbaik daripada setiap kategori untuk ke pusingan seterusnya. Pasukan terpilih kemudiannya akan menghadiri kem latihan dan bimbingan dalam talian komprehensif selama 3 hari oleh anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), untuk membantu peserta mengemaskan dan menambah baik idea perniagaan mereka selaras dengan sasaran SDG 12. Para finalis kemudiannya akan dijemput untuk membentangkan cadangan mereka pada acara langsung di hadapan panel juri berpengalaman.

Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM160,000  disamping mendapat pendedahan dan berpeluang meluaskan rangkaian dengan usahawan, pelabur dan penyokong komuniti perusahaan sosial. Untuk maklumat lanjut mengenai Pertandingan SME Bank Sandbox 2023, terma dan syarat pertandingan serta cara mendaftar, layari www.smebank.com.my/sandbox. Ikuti platform media sosial rasmi SME Bank seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Linkedin untuk maklumat terkini tentang pertandingan ini.