INDEKS SENTIMEN PKS MENUNJUKKAN KEYAKINAN BERTERUSAN DI KALANGAN USAHAWAN DALAM UNJURAN EKONOMI SEDERHANA
KUALA LUMPUR: 19 Jun 2025 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) mengumumkan hasil tinjauan Indeks Sentimen PKS bagi separuh pertama tahun 2025 (“1H 2025”), yang menunjukkan keyakinan berterusan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (“PMKS”) meskipun berdepan jangkaan cabaran ekonomi dan kewangan susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat. Indeks ini berperanan sebagai petunjuk sentimen keusahawanan yang penting, dengan menggabungkan pandangan PMKS serta indikator masa hadapan bagi menilai landskap perniagaan semasa dan hala tuju ekonomi Malaysia.
“Indeks Sentimen PKS SME Bank mencatatkan skor kukuh iaitu 55.2 bagi separuh pertama 2025, menggambarkan pandangan optimistik yang berterusan dalam kalangan usahawan di seluruh negara. Walaupun mencatatkan penurunan daripada 55.8 pada separuh sebelumnya, indeks ini kekal di atas paras neutral 50, menandakan tahap keyakinan yang stabil meskipun dalam fasa pemulihan pasca COVID-19. Para usahawan kini lebih berhati-hati dan realistik, terutamanya dalam jangkaan jualan, pengembangan dan pengambilan pekerja baharu. Sentimen ini sejajar dengan petunjuk ekonomi semasa, selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan mampan dan inklusif. Meskipun sentimen jangka pendek tidak berada di tahap optimum, asas ekonomi Malaysia kekal berada di landasan pertumbuhan yang stabil, didukung oleh reformasi struktur, pelaburan berkualiti tinggi serta tumpuan terhadap daya tahan dan kemakmuran bersama,” kata Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank.
Sorotan Utama:
- Pengumuman tindak balas tarif oleh Amerika Syarikat mempengaruhi jangkaan PMKS terhadap prospek ekonomi
- Perusahaan mikro menjangkakan prestasi jualan yang lebih baik berbanding sebelum ini
- Kos menjalankan perniagaan kekal tinggi akibat faktor domestik dan antarabangsa
- Pendedahan yang rendah terhadap pasaran luar membawa manfaat kepada PMKS secara tidak langsung
- Jangkaan jualan yang sederhana menyebabkan kadar pengambilan pekerja bergerak lebih perlahan
- Pelaksanaan e-invois memberi kesan positif kepada perniagaan
- Peningkatan secara berperingkat dalam penerapan prinsip ESG
- Pengembangan perniagaan kekal menjadi keutamaan dengan pendekatan lebih berwaspada
- PMKS berada dalam kedudukan kewangan yang mampan dalam keadaan ekonomi kian mencabar
Lynette Lee Li Qing, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank berkata, “Sebagai penunjuk ekonomi utama, Indeks Sentimen PKS ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun 2025, walaupun pada kadar yang sederhana. Pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2025 mencatatkan penurunan 4.4% tahun ke tahun (1Q 2024: 4.2%; 4Q 2024: 4.9%) – terendah sejak suku pertama 2024. Ia menandakan permulaan tahun yang agak perlahan dan di bawah julat unjuran rasmi pertumbuhan KDNK 2025 (4.5% - 5.5%). Bank Dunia turut menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 3.9%, selaras dengan penyusutan pertumbuhan global susulan ketidaktentuan yang semakin meningkat akibat ketegangan perdagangan. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan Malaysia jauh lebih baik berbanding negara-negara jiran seperti Thailand (3.1%) dan Singapura (3.9%).”
“Sentimen yang digambarkan dalam indeks ini juga selaras dengan petunjuk utama lain, termasuk Leading Index oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (“DOSM”), yang meramalkan keadaan ekonomi bergerak dengan lebih perlahan pada suku tahunan akan datang,” tambah beliau.
Tinjauan Indeks Sentimen PKS ini dijalankan antara Januari hingga April 2025, melibatkan bilangan responden tertinggi setakat ini iaitu seramai 2,007 peserta (2H 2024: 1,485) yang mewakili 39 sektor merentas semua saiz perniagaan. Tinjauan menyeluruh ini menyediakan gambaran penting tentang perspektif dan pengalaman PMKS, sekali gus menjadi penanda aras bagi prestasi ekonomi masa hadapan. Laporan penuh Indeks Sentimen PKS 1H 2025 yang diterbitkan oleh SME Bank boleh diakses di: https://go.smebank.com.my/SI20251HPR.