+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME Bank Catat Prestasi Cemerlang 1H 2025, Perkasa 5,735 Usahawan Dengan Pertumbuhan Tahunan Sebanyak 158%

Kuala Lumpur | 11 Ogos 2025

KUALA LUMPUR: 11 Ogos 2025 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”), anak syarikat Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“BPMB”), hari ini mengumumkan pencapaian cemerlang bagi inisiatif pembangunan melangkaui pembiayaan bagi separuh pertama tahun 2025 (“1H 2025”). Prestasi kukuh ini mencerminkan kesinambungan SME Bank dalam menyokong Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (“PMF”) oleh Bank Negara Malaysia (“BNM”) dan kerangka ekonomi MADANI Kerajaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan SME Bank sebagai salah satu Institusi Kewangan Pembangunan (“DFI”) utama negara yang diamanahkan untuk memperkasa keseluruhan ekosistem PKS. 

Perlaksanaan Inisiatif Melangkaui Pembiayaan & Pembangunan Kapasiti Berkualiti Tinggi

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, “Selaras dengan mandat SME Bank untuk memberikan impak pembangunan yang menyeluruh, kami berjaya memperkasa 5,735 usahawan dalam 1H 2025 dengan sokongan daripada badan latihan dan pembangunan kapasiti kami, iaitu Centre for Entrepreneur Development and Research (“CEDAR”) sebagai pelaksana utama. Ini merupakan peningkatan luar biasa sebanyak 158% berbanding 2,225 usahawan yang direkodkan dalam tempoh sama pada tahun 2024.” 

“Antara program melangkaui pembiayaan yang diamanahkan kepada SME Bank adalah Program Maju Usahawan MADANI yang diperkenalkan bagi memperkukuh ekosistem PMKS melalui pembangunan kapasiti yang bersasar. Bermula dari Januari 2025 hingga Mac 2026, program ini disasarkan dapat membantu 3,000 usahawan mikro. Sehingga Jun 2025, seramai 1,632 usahawan telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini, termasuklah PMKS daripada komuniti Bumiputera, belia, kawasan luar bandar, kumpulan B40, Asnaf, warga emas dan golongan kurang upaya. Di peringkat serantau, CEDAR turut dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi PMKS dalam Peralihan Hijau, satu pengiktirafan penting di bawah keutamaan ekonomi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025. Ini menegaskan kepimpinan SME Bank dalam membentuk masa depan yang lebih lestari dan inklusif di peringkat nasional dan serantau.” 

Memperkasa Usahawan Melalui Program Pembangunan Inklusif

SME Bank berperanan sebagai pemangkin transformasi PKS negara, bukan sahaja daripada segi pembiayaan, namun melangkaui pembiayaan dengan menyediakan pembangunan kapasiti menyeluruh bagi memperkasa golongan usahawan yang memerlukan untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya. Usaha SME Bank merangkumi sektor strategik utama untuk masa depan ekonomi negara termasuk pembangunan Bumiputera, teknologi dan inovasi, adaptasi digital, inisiatif berdaya tahan iklim, industri halal dan pelancongan. Menerusi inisiatif bersasar ini, SME Bank membantu para usahawan untuk menerajui inovasi, mengamalkan kelestarian dan bersaing secara yakin di peringkat domestik dan antarabangsa. 

Program Pembangunan Keusahawanan Halal telah memberi sokongan kepada lebih 400 peserta sejak dilancarkan pada 2023, manakala Program Pembangunan Kapasiti Vendor telah melibatkan 109 vendor dengan kelulusan insentif berjumlah RM15.87 juta. Sehingga 2024, sebanyak 28% daripada vendor tersebut mencatat sekurang-kurangnya 5% peningkatan hasil, menyumbang kepada jumlah pendapatan vendor sebanyak RM1.23 bilion. 

Program Eksport Perniagaan, iaitu program intervensi berstruktur yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”) bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (“MATRADE”), telah menjana jualan eksport bernilai RM191.93 juta menerusi penglibatan 98 syarikat dalam lima fasa. Perniagaan ini telah mengembangkan pasaran mereka ke destinasi global utama termasuk Asia Tenggara, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat. 

Selain itu, SME Bank XCESS, program padanan perniagaan utama SME Bank, terus berfungsi sebagai penghubung PKS Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa. Pada 2024, XCESS berjaya menjana sekitar RM178 juta dalam jualan segera dan berpotensi, melibatkan penyertaan kira-kira 450 peserta termasuk 24 pembeli antarabangsa dari 12 negara seperti Brazil, Jerman, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Korea Selatan, India, China, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Indonesia. Selaras dengan momentum positif ini, XCESS 2025 akan berlangsung pada 25 September 2025 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. 

Sehubungan itu, SME Bank iTEKAD ISHRAF, program pemerkasaan usahawan Asnaf berstruktur di bawah inisiatif iTEKAD BNM, telah mencatatkan impak yang positif sejak diperkenalkan pada 2023 (“ISHRAF 3.0”). Program ini telah berjaya menjana lebih RM5 juta dana crowd-in daripada iTEKAD BNM dan rakan strategik. Setakat ini, para peserta telah merekodkan peningkatan jualan sebanyak 126% dengan nilai RM19.25 juta. Program ini juga telah mewujudkan 182 peluang pekerjaan baharu, membolehkan 314 usahawan mengadaptasi teknologi baharu, serta menghasilkan 224 rangkaian perniagaan. 

Sementara itu, bagi memastikan penglibatan dalam penggubalan dasar, SME Bank memainkan peranan penting dalam mewujudkan semula Pusat Dataraya Usahawan, pusat pangkalan data usahawan nasional. Di bawah seliaan KUSKOP, inisiatif ini sejajar dengan objektif Dasar Keusahawanan Nasional 2030, berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkukuh intervensi berasaskan data dan mempercepatkan pertumbuhan sektor PKMS. 

Halatuju Masa Depan untuk Pemerkasaan PKMS Berimpak Tinggi

Dalam hala tuju seterusnya, SME Bank akan terus memacu agenda PKMS dengan lebih RM1 bilion inisiatif strategik yang diamanahkan kepada SME Bank di bawah Belanjawan 2025. Ini merangkumi pemberian pembiayaan dan sokongan melangkaui pembiayaan dalam sektor strategik seperti keusahawanan Bumiputera, teknologi dan inovasi, adaptasi ESG, ekonomi halal, dan pelancongan. 

Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, “Pencapaian cemerlang SME Bank setakat ini mengukuhkan dedikasi kami untuk memacu impak melangkaui pembiayaan dengan menyediakan bukan sahaja modal, tetapi juga pembangunan kapasiti, inovasi dan inklusiviti bagi menghasilkan manfaat yang bermakna dan berpanjangan. Selaras dengan mandat pembangunan kami, kami berbangga dapat memperkasa ribuan usahawan di seluruh negara. SME Bank akan terus menjadi pemangkin transformasi dengan menyediakan penyelesaian inovatif dan memudahkan PKMS Malaysia untuk berkembang di pasaran tempatan dan global.” 

Bagi menyokong inisiatif-inisiatif tersebut, SME Bank baru-baru ini telah melancarkan beberapa inisiatif strategik baharu di bawah Belanjawan 2025, termasuk MySMELady 2.0, Pembiayaan Ekosistem Payung, Dana Kelestarian Alam, dan Program Maju Usahawan MADANI. Selain itu, usaha kewangan sosial Islam SME Bank turut diteruskan melalui edisi keempat SME Bank iTEKAD ISHRAF (“ISHRAF 4.0”), yang menyasarkan pemerkasaan sekitar 400 usahawan dari komuniti B40 dan Asnaf di seluruh negara bagi mencapai peningkatan jualan sekurang-kurangnya 10%. Antara program lain yang ditawarkan oleh SME Bank termasuk Skim Pembiayaan Vanigham, Dana Transformasi Teknologi PKS, HalalBiz Financing, Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial, Jaguh Serantau, Business Accelerator Programme di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, dan Dana Kemampanan PKMS Bumiputera 2.0. 

Sejak penubuhannya pada 2005, SME Bank telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan landskap ekonomi Malaysia, dengan menyalurkan lebih RM46 bilion pembiayaan kepada lebih 24,000 PKMS. Selain itu, Bank melalui CEDAR telah menyokong pembangunan kira-kira 88,000 usahawan menerusi inisiatif pembangunan kapasiti yang berfokus. 

11/08/2025 4:25