+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

SME BANK RANGKUL ANUGERAH BERPRESTIJ, TERAJU USAHA DALAM MEMPERKASA EKOSISTEM PKS

KUALA LUMPUR: 29 April 2025

KUALA LUMPUR: 29 April 2025 Bagi tahun kedua belas berturut-turut, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad ("SME Bank") telah diberi pengiktirafan dengan pelbagai anugerah berprestij oleh Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific ("ADFIAP") di Anugerah Pembangunan Lestari 2025, di samping meraih kemenangan sulung SME Bank di Marketing-Interactive Public Relations Awards 2025. Anugerah ini mencerminkan komitmen SME Bank terhadap kecemerlangan dengan memberi inspirasi kepada lebih ramai Perusahaan Kecil & Sederhana (“PKS”) untuk lebih inovasi dan memacu transformasi, selain menyerlahkan kisah kejayaan mereka, mengukuhkan reputasi SME Bank sebagai salah satu institusi kewangan pembangunan ("DFI") terkemuka negara.

Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, "Kami amat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan berprestij ini kerana ia mencerminkan komitmen kami dalam menyokong pertumbuhan dan kemampanan PKS Malaysia. Kami berbangga kerana terus dapat meneruskan mandat nasional yang melangkaui pembiayaan. Anugerah ini menggariskan peranan penting kami dalam membentuk ekosistem PKS yang berdaya tahan dan inklusif, selaras dengan matlamat pembangunan negara dan peka terhadap keperluan usahawan tempatan yang kian berkembang. Dengan mempromosikan kemampanan melalui inovasi, kami bukan sahaja mengukuhkan komitmen kami untuk menetapkan penanda aras kecemerlangan baharu tetapi juga memperjuangkan amalan perniagaan yang memacu sosio-ekonomi yang positif, memupuk kesejahteraan alam sekitar dan ekonomi jangka panjang”.

ADFIAP 2025 Sustainable Development Awards: Memperkasa PKS Demi Masa Depan Yang Berdaya Tahan
SME Bank telah menerima pengiktirafan daripada ADFIAP sebagai pemenang dalam Kategori Pembangunan PKS menerusi program SME Bank’s Sandbox Swiss Innovation Challenge 2024 dan diiktiraf dalam Kategori Pembangunan Teknologi melalui Enterprise Lifecycle Scoring Assessment (“ELSA”). Selain itu, SME Bank turut meraih Anugerah MERIT untuk Graduate Talent Programme (“GTP”) dalam Kategori Pembangunan Modal Insan, serta inisiatif Sustainability Roadmap Journey dalam Kategori Pembangunan Alam Sekitar.

Marketing-Interactive Public Relations Awards 2025: Memperkukuh Ekosistem PKS
SME Bank turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Best PR Campaign - Start-Up/Small Business di Marketing-Interactive Public Relations Awards 2025 menerusi inisiatif podcast pertama SME Bank,‘We Hear You’. Podcast ini dilancarkan sebagai platform untuk menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (“PMKS”) di Malaysia, dengan menyediakan pandangan industri, nasihat pakar dan kisah kejayaan sebenar bagi membantu usahawan berjaya dalam landskap perniagaan yang semakin dinamik. Dalam tempoh hanya tiga bulan sejak dilancarkan pada Oktober 2024, podcast ini telah meraih lebih 3.9 juta tontonan, membuktikan sambutan hangat terhadap pemerkasaan pemilik perniagaan. Melalui platform ini, SME Bank terus meneruskan komitmennya dalam memperkukuh kecemerlangan dan kelestarian perniagaan dengan menawarkan bukan sekadar pembiayaan, malah ekosistem menyeluruh yang merangkumi ilmu, panduan dan bimbingan untuk membantu PMKS berkembang dan kekal berdaya saing.

Majlis Anugerah ADFIAP 2025 berlangsung di Muscat, Oman bersempena Mesyuarat Tahunan ke-48 ADFIAP. SME Bank diwakili oleh Dato’ Muslim Hussain, Pengerusi dan Samad Majid Zain Abdul Majid, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan. Bertemakan “Economic Gardening and Development Impact”, acara tahun ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, membangunkan ekosistem keusahawanan, menyelaraskan pembiayaan dengan matlamat pembangunan, memperkukuh daya tahan ekonomi, mengukur impak, serta memperkasa pembiayaan hijau dan kelestarian.

Sementara itu, Marketing-Interactive Public Relations Awards 2025 bukan sahaja mengiktiraf kempen dan pencapaian terbaik di rantau ini, malah menjadi platform untuk menonjolkan evolusi landskap komunikasi dan perhubungan awam. Anugerah ini mengetengahkan strategi inovatif, penceritaan yang berkesan dan hasil yang dapat diukur, memperlihatkan peranan penting PR dalam membentuk identiti jenama, menggerakkan keterlibatan dan mempengaruhi persepsi awam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rangkaian produk dan perkhidmatan SME Bank, serta untuk mengikuti podcast ‘We Hear You’ yang menampilkan kisah dan pandangan sebenar buat usahawan, sila layari https://linktr.ee/WeHearYoubySMEBank.

Edisi ke-4 Swiss Innovation Challenge (“SIC”) Malaysia kini dibuka untuk penyertaan. PKS yang berminat boleh menghantar permohonan melalui swissic.dhuautomotive.edu.my/home SIC merupakan platform pelancaran idea-idea di luar kotak yang menghubungkan inovasi antara Switzerland dan ASEAN. Ia membuka peluang kepada syarikat, syarikat pemula (“startups”) dan individu berwawasan melalui latihan praktikal, bimbingan inspirasi dan rangkaian yang berkesan untuk memacu gelombang baharu produk, perkhidmatan dan pencapaian perniagaan yang inovatif.

29/04/2025 6:48