SME BANK DAN BSN JALIN KERJASAMA STRATEGIK UNTUK MELONJAK PERTUMBUHAN INOVATIF USAHAWAN TEMPATAN
KUALA LUMPUR: 16 Jun 2025 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”) dan Bank Simpanan Nasional (“BSN”) telah memeterai satu kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (“MoU”) bagi memperkasa usahawan tempatan. Selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI dan Kerangka Keusahawanan Nasional (“NEF”), kerjasama ini bertujuan untuk melonjakkan pertumbuhan usahawan menerusi akses kewangan yang lebih baik, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan digital sekali gus memperkukuh peranan Institusi Kewangan Pembangunan (“DFI”) dalam pembangunan negara.
Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank berkata, “Sejajar dengan mandat pembangunan kami, SME Bank akan terus menyokong pertumbuhan negara yang inklusif dan mampan melalui kerjasama strategik yang dapat meningkatkan akses PKS kepada penyelesaian digital yang inovatif. Melalui kerjasama ini juga, pelanggan BSN boleh memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan khas oleh SME Bank untuk membantu perkembangan usahawan PMKS. Khususnya, adalah melalui ScoreXcess kami iaitu portal permohonan pembiayaan perniagaan bagi pembiayaan kecil dan mikro yang dikendalikan oleh pusat pembinaan kapasiti dan latihan kami iaitu Centre for Entrepreneur Development and Research (“CEDAR”). Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua institusi, kerjasama ini menggambarkan usaha bersama antara dua DFI untuk mempercepatkan pertumbuhan keusahawanan dan menyediakan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan semasa usahawan.”
“Kami akan terus menyokong PKS daripada sektor-sektor utama, termasuk pelanggan BSN apabila mereka bersedia untuk berkembang, selaras dengan mandat kami untuk memperkasa PMKS pada setiap peringkat perniagaan mereka. Sokongan kami merangkumi pembiayaan dan inisiatif melangkaui pembiayaan, termasuk segmen Teknologi dan Digital melalui SME Technology Transformation Fund (“STTF”) serta Pembiayaan Ekosistem Payung, iaitu penyelesaian pembiayaan yang direka khusus untuk membina daya tahan perniagaan dalam ekosistem menyeluruh. Kami juga berbangga untuk menggerakkan Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (“HTG”) oleh Bank Negara Malaysia bagi membantu PKS berkembang dalam sektor strategik dan mampan.”
Selain itu, perjalanan transformasi digital SME Bank yang digerakkan melalui platform seperti ScoreXcess, ELSA dan ODELA telah memberi manfaat kepada hampir 5,000 PKS dalam sektor-sektor strategik dari tahun 2021 hingga 2024. Platform ini bukan sahaja mempertingkatkan akses kepada pembiayaan, malah menyediakan penilaian berstruktur dan akses pasaran, sekali gus membentuk satu ekosistem digital yang menyeluruh bagi mempercepatkan pertumbuhan PKS. Menerusi kerjasama ini, platform ScoreXcess telah menerima sebanyak 89 permohonan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM3.2 juta. Inisiatif ini menekankan bagaimana kerjasama strategik mampu memperluaskan pencapaian dan keberkesanan ekosistem digital SME Bank, seterusnya mengukuhkan peranan SME Bank sebagai pemacu pembangunan PKS di peringkat nasional.
Majlis pertukaran MoU telah disempurnakan oleh Hamdan Mohd Habibollah, Pemangku Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank dan Mujibburrahman Abd Rashid, Timbalan Ketua Eksekutif BSN di Karnival BSN Mikro Madani - Zon Pantai Timur baru-baru ini.