+603 2603 7700
EN BM
Siaran Media- inner banner
Siaran Media- inner banner

Misi Pecutan Eksport Keempat SME Bank Malaysia Lonjak PMKS F&B di Amerika Syarikat

28 June 2024

KUALA LUMPUR: 27 Jun 2024 – Dalam usaha berterusan untuk memperluaskan kehadiran antarabangsa PMKS Malaysia, SME Bank Malaysia telah menganjurkan Misi Pecutan Eksport (EAM) keempat untuk tahun 2024, yang memberi tumpuan kepada Amerika Syarikat. Usaha strategik ini berlangsung serentak dengan Summer Fancy Food Show 2024 yang diadakan di Javits Center, New York, Amerika Syarikat (AS).

Di bawah kendalian SME Bank dan dengan sokongan penuh dari Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) serta MATRADE, Misi Pecutan Eksport (EAM) bertindak sebagai platform dinamik untuk PMKS Malaysia di bawah Business Export Programme (BEP) bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan inovatif mereka di peringkat antarabangsa.

Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, berkata, "Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2020, EAM telah menyaksikan penyertaan 80 syarikat, mencapai hasil eksport yang luar biasa sebanyak RM187.68 juta sehingga Disember 2023. Luar biasanya, terdapat peningkatan hasil eksport sebanyak RM74.56 juta dalam tempoh yang sama. Kejayaan program ini dapat dilihat dengan jelas, melalui 35 syarikat berjaya menembusi pasaran eksport baru termasuk Maldives, Australia, UK, Qatar, dan AS. Selain itu, 13 syarikat telah memperoleh pembiayaan baharu atau tambahan sebanyak RM143.95 juta, menyumbang kepada pembentukan 10 pengeksport baru."

Di acara itu, kira-kira 3,000 pembeli dan pelawat dari Amerika Utara, Amerika Selatan, dan Eropah melawat reruai tersebut. Hampir 200 pembeli yang berminat telah direkodkan, dengan 55% daripada mereka adalah pembeli sah. Antara pembeli ini, 52% adalah pengedar, pemborong dan peruncit. Sasaran awal untuk EAM adalah untuk mencapai potensi jualan sebanyak USD 10 juta. Walau bagaimanapun, ianya telah melebihi jangkaan dengan memperoleh potensi jualan sebanyak USD 15 juta, serta pertanyaan daripada pengedar dan kedai rangkaian di seluruh AS.

Menampilkan 11 syarikat daripada Program Eksport Perniagaan (BEP) dalam industri makanan dan minuman, SME Bank menyasarkan untuk melengkapkan peserta BEP ini dengan bimbingan khusus daripada Enescorp International LLC, penyambung pasaran yang berpengalaman. Bantuan ini bertujuan untuk membantu mereka menavigasi landskap pasaran AS yang mencabar dan memperkenalkan perisa tempatan kepada pengguna Amerika.

Norizan Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif Enescorp International LLC, menyatakan, "Enescorp berhasrat untuk memudahkan pengenalan produk Malaysia ke pasar AS. Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk penyenaraian platform dalam talian dan pematuhan peraturan, untuk memastikan kemasukan yang lancar. Pengalaman luas kami dalam mengimport pelbagai produk Malaysia, bersama dengan program ‘soft-landing’ kami, melengkapkan syarikat-syarikat Malaysia untuk menavigasi landskap perniagaan AS yang kompleks dengan yakin. Dari penambahbaikan pembungkusan hingga pendaftaran FDA, Enescorp berdedikasi untuk menyokong perniagaan Malaysia di setiap peringkat, mempromosikan pertumbuhan jualan eksport dan kejayaan jangka panjang."

“EAM ini memberikan peluang keemasan bagi peserta BEP untuk memanfaatkan pasaran pengguna AS yang besar sebanyak 335 juta. Dengan peraturan kerajaan yang telus, pasaran yang pelbagai, infrastruktur yang kukuh, dan kadar pertukaran yang baik, SME Bank komited untuk menyokong usahawan dalam memperluas kehadiran pasaran mereka. Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Konsul Jeneral Malaysia di New York, MATRADE New York, dan Pejabat Kaunselor Pertanian di Kedutaan Malaysia di Washington DC atas sokongan dan kerjasama mereka yang tidak ternilai dalam menjayakan inisiatif ini,” tambah Datuk Wira Aria.

Dengan memanfaatkan inisiatif seperti BEP dan EAM, SME Bank menggesa lebih banyak PMKS untuk mengambil peluang untuk menerokai pasaran AS bagi memacu kejayaan perniagaan mereka. Usaha ini selari dengan rangka kerja dasar Ekonomi MADANI, yang menyokong peningkatan syarikat tempatan di semua peringkat melalui peningkatan ekosistem inovasi, pengukuhan modal teroka, dan menggalakkan fokus eksport PMKS. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif SME Bank, layari www.smebank.com.my, ikuti kami di Facebook, atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di 603-26037700.