SME Bank

KUALA LUMPUR : 13 Oktober 2021 – Seiring dengan perkembangan perniagaan e-dagang sewaktu pandemik dan disokong dengan peningkatan pendapatan e-dagang tahun 2020 sebanyak 32.7 peratus (RM896.4 bilion Sumber: DOSM), SME Bank telah mengambil keputusan untuk mengubah hala tuju penganjuran Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2020 dengan memberi fokus kepada platform e-dagang untuk melahirkan generasi e-Usahawan muda yang cekap dalam menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan dalam talian melalui media sosial.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Bin Haji Omar berkata, “MEDAC menyambut baik langkah SME Bank ini kerana selain memenuhi trend semasa, pendekatan ini secara tidak langsung menyumbang kepada sasaran RMK-12 iaitu mencapai sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025.”

Tan Sri Noh menambah, “Pertandingan perniagaan peringkat sekolah menengah ini menjadi serampang dua mata apabila ia turut membantu negara mencapai hasrat untuk membentuk bangsa usahawan di kalangan belia dan seterusnya mencapai aspirasi Keluarga Malaysia yang kita perjuangkan sekarang.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank Y-Biz Challenge telah dianjurkan sejak tahun 2012 adalah bertujuan untuk membudayakan keusahawanan di kalangan generasi muda agar mereka mempunyai asas bagi memulakan perniagaan pada masa hadapan. Pendedahan di peringkat sekolah menengah adalah penting untuk menyemai semangat keusahawanan dan di sinilah kami dapat mengukur kejayaan program ini sekiranya peserta program ini terus menceburi bidang keusahawanan setelah tamat pengajian mereka dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya mereka.”

Aria menambah, “Walaupun pertandingan secara fizikal terpaksa ditunda beberapa kali kerana penularan wabak Covid-19, program SME Bank Y-Biz Challenge 2020 telah mendapat sambutan yang baik apabila mencatatkan peningkatan pendaftaran hampir 38% daripada sasaran awal iaitu sebanyak 20% dengan 151 buah sekolah menyertainya berbanding hanya 113 di edisi terdahulu.”

Juara Program SME Bank Y-Biz Challenge 2020 ini jatuh kepada Kumpulan Suchi Rangers dari Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Perak dengan produk Cattapa, produk rawatan organik untuk pertanian. Kumpulan ini telah memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM20 ribu, piala pusingan, sijil penyertaan dan hadiah khas tiket penerbangan bernilai RM25 ribu bagi menyertai pertandingan di luar negara bagi memberi peluang kepada pelajar kita untuk menimba pengalaman dan meluaskan jaringan dengan para pelajar yang bertanding dari negara-negara lain.

Kumpulan Green Box Team dari SMK St. Teresa, Sarawak telah menyandang tempat kedua dengan produk Green Box, sebuah generator lampu tanpa wayar. Mereka memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM15 ribu, trofi dan sijil penyertaan. Tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Triumph Legacy dari SMK Kuala Nerang, Kedah dengan produk MYCRISP, snek yang di perbuat dari daun moringa. Kumpulan Triumph Legacy telah membawa pulang hadiah wang tunai RM10 ribu, trofi dan sijil penyertaan. Enam kumpulan yang lain telah menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai bernilai RM3,000, trofi dan sijil setiap satu.

Pelaksanaan program SME Bank Y-Biz Challenge 2020 telah dimulakan dengan sesi taklimat fizikal kepada 100 orang guru pembimbing pada bulan Januari 2020.  Walau bagaimanapun, format telah diubah secara dalam talian sepenuhnya apabila para pelajar dan guru pembimbing menghadapi kesukaran untuk berbincang secara bersemuka bagi menyiapkan kertas cadangan projek semasa perintah kawalan pergerakan. Daripada 151 pendaftaran awal, 98 kertas cadangan projek telah diterima daripada sekolah yang menyertai program ini.

Penjurian peringkat awal telah diadakan pada bulan April 2021 bagi memilih 20 projek untuk mara ke peringkat separuh akhir. Bagi memberi nilai tambah untuk peserta, SME Bank turut menganjurkan sesi boot camp pada bulan Jun 2021 untuk peserta peringkat separuh akhir mengikuti kelas bimbingan e-dagang dan pengurusan perniagaan. Selain itu,  mereka juga diberi wang modal bernilai seribu ringgit untuk menyiapkan produk masing-masing. Sesi pembentangan separuh akhir telah diadakan pada bulan Ogos 2021 dan sebanyak sembilan projek telah terpilih untuk mara ke peringkat akhir.

Finalis juga perlu memuat naik dua buah video di Facebook SME Bank bagi mempromosikan produk masing-masing. Ini bertujuan menguji kefahaman peserta tentang ilmu pemasaran e-dagang yang telah diperoleh sewaktu sesi boot camp. Video yang dihasilkan dibuka untuk undian Like oleh orang ramai dan jumlah keseluruhan undian Like akan diberi markah tambahan kepada setiap peserta semasa pertandingan akhir. Secara keseluruhannya, sebanyak 33,890 jumlah Like telah diperoleh oleh kesemua finalis.

Bagi memastikan projek yang dibentangkan oleh para peserta mendapat penilaian daripada pakar dalam bidang masing-masing, SME Bank telah melantik panel juri yang terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Reka bentuk Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan dengan pembangunan usahawan dan pembiayaan PKS seperti TEKUN, MARA, Bank Rakyat dan juga ODELA.

Sejak tahun 2012 dan sehingga kini, sebanyak 673 buah sekolah telah menyertai program SME Bank Y-Biz Challenge yang melibatkan 2,767 orang pelajar.  Program SME Bank Y-Biz Challenge ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan menerima anugerah Plaque of Merit di bawah kategori Tanggungjawab Sosial Korporat daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) pada tahun 2019 dan 2013.