KUALA LUMPUR, 10 Disember 2020 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), melalui program tanggungjawab korporatnya (CSR) sekali lagi tampil untuk membantu petugas barisan hadapan dengan menyalurkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Majlis ringkas penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Binti Haji Samsudin, yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kepada Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik), YBhg. Datuk Khairul Shahril Bin Idrus dan dihadiri oleh Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati berkata, “Saya bangga dengan usaha yang dijalankan oleh SME Bank dalam membantu barisan hadapan di sepanjang pandemik Covid-19 ini. Sumbangan ini akan meringankan beban Kerajaan selain menyahut seruan agar semua agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu untuk menghadapi tempoh yang sukar ini.”

YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati menambah, “Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang prihatin dan bertanggungjawab, sumbangan yang diberikan adalah dalam bentuk pek makanan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di hospital-hospital kerajaan terpilih di seluruh negara dan juga agensi-agensi di bawah MKN.”

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putra Ismail berkata, “Program Tanggungjawab Korporat ini akan dilaksanakan serentak di 26 cawagan SME Bank di seluruh negara dan ini adalah kali pertama kami lakukan dengan cara begini. Ianya dijangka akan diadakan pada 16 Disember 2020.”

Tambah Aria, “Kami terpanggil untuk memberikan sumbangan ini kerana melihat kegigihan petugas barisan hadapan kita yang berkorban masa dan tenaga demi menyelamatkan nyawa kita semua. Perjuangan menentang Covid-19 ini adalah tanggungjawab bersama. Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SME Bank dalam membantu pihak Kerajaan menangani isu pandemik Covid-19.”

Selain sumbangan kepada MKN ini, sejak bermula pandemik COVID-19, SME Bank juga memberikan sumbangan korporat dan zakat berjumlah lebih RM300,000 kepada beberapa agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan hospital-hospital terpilih di seluruh negara pada bulan April yang lalu. Sumbangan-sumbangan ini telah digunakan untuk pembelian peralatan peribadi (PPE) untuk para petugas barisan hadapan dan peralatan bagi merawat pesakit Covid-19.

Selain bantuan kepada barisan hadapan, SME Bank turut mengadakan program pembangunan usahawan untuk membolehkan usahawan mikro dan kecil meneruskan kelangsungan perniagaan mereka. Antara program-program CSR yang sedang dilaksanakan ialah Program Penjana [email protected] yang melibatkan 20 usahawan mikro B40 terpilih yang bertujuan untuk merangsang kegiatan ekonomi mereka yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Program latihan berbentuk ‘hands-on’ ini adalah untuk meningkatkan kemahiran usahawan menjalankan perniagaan atas talian bagi membolehkan mereka untuk menjual produk atau servis serta dapat menguruskan perniagaan secara sistematik. Program Penjana [email protected] ini akan diteruskan di seluruh negara pada tahun hadapan.

 

 

Applying for business financing is now easier with MySMEBank online application

APPLY NOW