KUALA LUMPUR: 28 September 2020 – SME Bank tawar lanjutan moratorium dan bantuan bersasar kepada hampir semua pelanggannya yang layak menerusi Program Kemudahan PKS (SRP) seperti yang diumumkan pada bulan Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, “Program SRP ini melibatkan 3090 orang pelanggan dengan jumlah pembiayaan melebihi RM4.8bilion. Inisiatif SME Bank yang menyasarkan pelanggan-pelanggan di dalam lima sektor PKS dan yang bersaiz mikro dan kecil adalah seiring dengan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi seperti yang diumumkan oleh MEDAC.”

“Lima sektor PKS yang disasarkan dalam program SRP ini ialah pelancongan, pendidikan, pengangkutan awam, kesihatan dan stesen minyak. Dengan adanya bantuan-bantuan seperti SRP ini, kita dapat mencapai kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan dalam tempoh segera serta memastikan PKS kekal berdaya saing dan mampan setelah dilanda krisis COVID-19,” tambah Dato Sri Dr.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “SME Bank merangka Program SRP dengan mengambil kira keperluan dan keteguhan aliran tunai perniagaan setiap pelanggan. Program SRP ini secara amnya menawarkan lanjutan tempoh pembiayaan sedia ada selama 12 bulan. Dari jumlah keseluruhan pelanggan yang layak, 66% menerima pakej lanjutan moratorium sehingga 12 bulan dan 15% menerima pakej bayaran kadar keuntungan selama enam bulan. Pelanggan yang selebihnya akan menikmati penjadualan semula pembiayaan mereka.

Aria menambah, “Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan setiap pelanggan SME Bank mendapat maklumat yang jelas berkenaan bantuan SRP yang ditawarkan. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk memastikan setiap Pengurus Perhubungan menghubungi pelanggan mereka, menganjurkan Hari Terbuka SRP di setiap cawangan, komunikasi melalui pelbagai platform media sosial, pesanan mesej ringkas dan panggilan telefon di samping edaran surat pemberitahuan kepada pelanggan yang terlibat."

Bantuan SRP ini akan bermula setelah tempoh moratorium automatik Bank Negara Malaysia berakhir pada 30 September 2020. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi www.smebank.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03- 26037700.

Applying for business financing is now easier with MySMEBank online application

APPLY NOW