KUALA LUMPUR: 7 April 2020 – SME Bank, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menjalankan tanggungjawab korporatnya dengan mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM300,000 dan sumbangan korporat berjumlah RM50,000 untuk mereka yang berkorban masa dan nyawa di barisan hadapan demi memastikan rakyat Malaysia selamat dan dilindungi dengan baik bersama keluarga mereka.

Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, “Sumbangan zakat berjumlah RM300,000 serta sumbangan korporat sebanyak RM50,000 ini sudah pasti akan membantu meringankan beban Kerajaan yang sangat memerlukan dana bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan perubatan pada waktu negara sedang dilanda krisis COVID-19 ini. Inisiatif yang diambil oleh SME Bank ialah respons kepada seruan Kerajaan agar semua agensi dan badan bukan Kerajaan berganding bahu dalam membantu Kerajaan melawan pandemik COVID-19 ini.”

Wang zakat telah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak RM100,000 masing-masing manakala Hospital Serdang dan Hospital Universiti Sains Malaysia; Hospital Sg Buloh serta Hospital Kuala Lumpur melalui Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM); serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima sebanyak RM25 ribu setiap organisasi menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM300,000. Bagi wang sumbangan RM50,000 pula, telah diberikan untuk inisiatif #responsMalaysia di bawah kendalian Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “SME Bank telah memilih organisasi ini untuk menyalurkan zakat dan sumbangan korporatnya memandangkan organisasi ini berada di barisan hadapan untuk membantu memerangi COVID-19. Secara ringkas, dana ini akan digunakan untuk pembelian peralatan perubatan khas para petugas barisan hadapan kesihatan bagi merawat pesakit COVID-19 serta membantu meringankan beban mereka yang terputus pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan.”

Aria menambah, “Selain itu, sumbangan terus ke Hospital Sg. Buloh dan Hospital Kuala Lumpur melalui AIBIM juga akan digunakan bagi membiayai pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE), lain-lain peralatan kesihatan, bahan-bahan sanitasi serta kelengkapan hostel bagi pekerja barisan hadapan.” 

Pada tahun 2019, SME Bank turut mengagihkan zakat berjumlah RM1.16 juta kepada lapan rakan strategiknya yang terdiri daripada tiga hospital awam dan lima institusi pengajian tinggi awam sebagai usaha membantu golongan asnaf yang disasarkan. Sumbangan zakat SME Bank kepada NADMA telah disampaikan oleh YB. Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada Encik Mohamed Zahari Bin Razali, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana), NADMA di sebuah majlis di Kuala Lumpur.

zakatsmebanknadma2020

 

Applying for business financing is now easier with MySMEBank online application

APPLY NOW