KUALA LUMPUR, 18 Februari 2020 – Malaysia dan Thailand terus mengukuhkan jalinan usaha sama untuk tingkatkan kegiatan ekonomi di antara kedua-dua buah negara melalui satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara SME Bank Malaysia, SME Bank Thailand, Export-Import Bank of Thailand dan EXIM Bank Malaysia yang diadakan di Narathiwat, Thailand, pada 16 Februari 2020. 

YB Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang menyaksikan majlis tersebut bersama-sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand, H.E. Jurin Laksanawisit berkata, “Thailand ialah rakan perdagangan Malaysia yang kedua terbesar di ASEAN dan kelima terbesar secara global. Jumlah imbangan perdagangan yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah sebanyak RM11.1 bilion, dengan nilai perdagangan merentas sempadan sebanyak AS$24.09 bilion pada tahun 2019. Melihat kepada statistik tersebut, potensi untuk kedua-dua negara meningkatkan hasil dagangan sememangnya sangat luas dan perlu dimanfaatkan.” 

Dr Hatta menambah, “MOU ini telah berjaya memperbaharui komitmen semua pihak untuk terus berusaha menggabungkan kerjasama perdagangan, pelaburan, dan kegiatan ekonomi merentas sempadan terutamanya di dalam industri pelancongan, makanan halal, pakaian, barang kemas dan lain-lain. Ia akan membuka peluang untuk PKS tempatan mengukuhkan kedudukan mereka dengan pasaran global khususnya Thailand dan meningkatkan tahap penglibatan usahawan PKS tempatan di persada antarabangsa.”

Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “MOU ini juga akan membuka peluang kepada semua usahawan tempatan dan juga antarabangsa untuk memanfaatkan ODELA, sebuah platform e-dagang sehenti yang dibangunkan oleh SME Bank khusus untuk perniagaan B2B. ODELA akan membolehkan rakan perdagangan membuat pembayaran dan transaksi merentas sempadan, memudahkan pertukaran pengetahuan, menggalakkan inovasi dan memanfaatkan ekosistem yang luas. SME Bank menyasarkan untuk ODELA mencapai transaksi sebanyak RM9.8 bilion dalam tempoh lima tahun. Platform ODELA juga akan menggalakkan pengadaptasian teknologi digital dalam kalangan PKS dan mengubah cara perdagangan antarabangsa dilaksanakan.”

Aria menambah, “Sebagai sebuah agensi di bawah seliaan MEDAC yang memegang mandat membimbing dan membangunkan PKS negara, usaha seperti ini akan dapat membantu hasrat Kerajaan mencapai matlamat Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu menjadikan Malaysia negara keusahawanan unggul dan seterusnya mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

Menandatangani memorandum bagi pihak SME Bank Malaysia ialah Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail,  bagi pihak SME Bank Thailand ialah Nartnaree Rattapat, Naib Presiden Eksekutif Kanan (Pemangku Presiden), bagi pihak Export-Import Bank of Thailand ialah Pisit Serewiwattana, Presiden dan bagi pihak Exim Bank Malaysia ialah Dato’ Shahrul Nazri Abdul Rahim, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif.

Collaboration

(Berdiri dari kini: YB Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli, Timbalan Menteri MEDAC, H.E Jurin Laksanawisit, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Thailand, H.E Niphon Boonyamane, Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand,) (Duduk dari kiri: En. Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, SME Bank Malaysia, Dato’ Shahrul Nazri Abdul Rahim, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Malaysia, En. Pisit Serewiwattana, Presiden EXIM Bank Thailand, dan Cik Nartnaree Rattapat, Naib Presiden Eksekutif Kanan (Pemangku Presiden) SME Bank Thailand)

 

Applying for business financing is now easier with MySMEBank online application

APPLY NOW