SMEBank innerpage NewsandMedia

KUALA LUMPUR : 23 September 2021 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini telah melancarkan program ‘Business Exports Programme’ (BEP) untuk melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan PKS pengeksport Bumiputera melalui peruntukkan dana sebanyak RM30 juta oleh MEDAC bagi tempoh lima tahun dari 2020-2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar berkata, “Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai dagangan eksport bagi separuh tahun pertama melonjak 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion. Dengan perkembangan positif ini, saya menggesa usahawan PKS bumiputera merebut peluang untuk memastikan mereka mampu memperluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa melalui program BEP ini.”

Tambah Tan Sri Noh, “Melihat kepada potensi usaha ini dan kejayaan yang dicapai sebelumnya, MEDAC telah membuat keputusan untuk menambah peruntukkan daripada RM10 juta ke RM30 juta untuk SME Bank melaksanakan program BEP ini.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Sehingga kini, sebanyak 29 buah syarikat di mana 18 daripada sektor pembuatan dan 11 daripada sektor perkhidmatan telah terpilih untuk menyertai BEP. Melalui aktiviti intervensi yang berstruktur, mereka akan dibimbing dan diselia berdasarkan enam parameter iaitu pengeluaran/teknikal, kewangan, tenaga kerja, keperluan eksport, pemasaran serta standard dan peraturan. Program BEP ini dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) sebagai rakan strategik.”

Aria menambah, “Keenam-enam parameter ini akan membantu usahawan PKS yang terlibat menyediakan syarikat, produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi permintaan serta piawaian yang perlu untuk memasuki pasaran antarabangsa. Selain itu, SME Bank turut memberikan latihan keusahawanan percuma yang komprehensif melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) agar mereka dapat bertahan dan cekal bersaing dalam arena perniagaan yang lebih besar dan mencabar.”                              

Antara program misi perdagangan yang akan disertai peserta BEP dalam masa terdekat ialah MIHAS 2021 bermula 9 September hingga 31 Disember 2021, E-Biz Match bersama usahawan Uganda pada 28 September 2021, Export Acceleration Mission Bangkok, Thailand, dari 18 hingga 20 Oktober 2021 dan Dubai Expo 2020 pada 13 hingga 19 Februari 2022.

SME Bank sebagai agensi pelaksana telah memulakan program ini sejak tahun 2016 sehingga 2019 di mana sebelum ini ia dikenali sebagai Best Exporters Program dan merupakan kolaborasi antara TERAJU, SME Bank dan MATRADE.  73 buah syarikat tempatan telah menyertai program tersebut dan mencatat peningkatan hasil eksport sebanyak RM141.4 juta; 55 buah syarikat telah berjaya meningkatkan hasil eksport; 19 buah syarikat telah menjadi pengeksport baharu dan 13 buah syarikat telah mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM87.7 juta.

BEP merupakan sebuah program intervensi berstruktur yang telah diletakkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Program ini menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 di bawah inisiatif mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak dan gas. Selain itu, BEP juga secara langsung menyokong Teras 6 di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dalam mengantarabangsakan perusahaan berprestasi tinggi, dengan memudah cara usahawan PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.

Majlis pelancaran BEP ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Muslimin Yahaya, Dato’ Seri Nazir Ariff, Pengerusi SME Bank dan Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank.

Applying for business financing is now easier with MySMEBank online application

APPLY NOW
custom_html
HUBUNGI KAMI
Hubungi Kami:
Menara SME Bank,
Jalan Sultan Ismail,
50250 Kuala Lumpur

Tel: +603 2603 7700