SMEBank innerpage NewsandMedia

KUALA LUMPUR: 9 Julai 2021– SME Bank meneruskan penerbitan program TV SUKSES dengan memperkenalkan SUKSES 4.0, sebuah pertandingan keusahawanan berformat realiti TV bertujuan mencipta usahawan muda pintar digital bagi membantu mereka hadapi cabaran perniagaan norma baharu. SUKSES 4.0 akan menyusuri perjalanan 10 orang peserta yang terdiri daripada usahawan syarikat pemula hingga kepada peringkat mikro yang akan dibimbing oleh mentor yang juga merupakan pelanggan SME Bank yang berjaya.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, “Melihat kepada kepentingan media sosial dan adaptasi digital dalam perniagaan terutama sewaktu tempoh getir ini, SME Bank mengubah format SUKSES 4.0 untuk memberi nilai jangka panjang kepada peserta dan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan trend terkini dunia perniagaan.   Selain itu, peserta juga berpeluang belajar secara langsung dengan usahawan-usahawan mentor bagaimana mengembangkan perniagaan dan menjamin kelangsungan perniagaan.”

“Setiap peserta diberi dua tugasan; tugasan pertama menguji kemahiran keusahawanan peserta dan bagaimana mereka menggunakan ilmu yang diperoleh daripada mentor ke dalam perniagaan masing-masing. Tugasan kedua pula berkaitan media sosial untuk perniagaan di mana peserta perlu memuat naik tugasan ke platform media sosial masing-masing dan menggunakan teknik pemasaran digital yang dipelajari,” tambah Aria.

Untuk memastikan program ini memberi impak yang besar kepada para peserta, SME Bank telah melantik empat orang panel juri profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan, pemasaran digital dan ikon usahawan daripada sektor perkhidmatan serta makanan dan minuman. Mereka ialah Hamdan Mohd Habibollah, Ketua Pengurusan Stakeholders, SME Bank; Aaliyah Soraya Darus, Pengurus Besar Nuffnang Live Commerce Sdn. Bhd. yang mewakili sektor pemasaran digital; dan Dato’ Wan Mohammad Sani Salleh, Pengasas & Penasihat Kumpulan Sani United Berhad serta Azri Zahier Azmi, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif The Boom Beverage Sdn. Bhd.

Pemilihan panel juri ini dijangka memberi nilai tambah melalui tunjuk ajar, pengalaman dan pengetahuan mereka kepada para peserta untuk memajukan perniagaan masing-masing. Markah diaudit oleh juru audit bertauliah yang dilantik khusus untuk SUKSES 4.0.

Aria menambah, “Bagi memastikan para peserta dilengkapi dengan ilmu keusahawanan dan mempunyai ciri-ciri usahawan yang berjaya, mereka telah diberi peluang untuk mengikuti kelas latihan keusahawanan lengkap yang dikendalikan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank dan kelas perniagaan digital oleh Master Azriel dari Azriel Consulting and Training.”

Pelbagai cabaran akan ditempuhi oleh para peserta untuk merebut gelaran Juara SUKSES 4.0 yang menawarkan hadiah terkumpul bernilai lebih RM100,000. Sebagai menghargai penonton setia SUKSES 4.0, kuiz mingguan akan dimuat naik di laman Facebook SUKSES 4.0 dan hadiah bernilai RM10,000 menanti pemenang. SUKSES 4.0 dihoskan oleh Fattah Amin dan akan mula bersiaran pada 11 Julai 2021 setiap Ahad, jam 9.00 malam di saluran AWANI 501 dengan siaran ulangan setiap Khamis jam 3.30 petang. Penonton juga boleh mengikuti Diari SUKSES 4.0 yang memaparkan coretan perjalanan peserta SUKSES 4.0 di saluran YouTube SUKSES 4.0 yang akan dimuat naik setiap hari Jumaat.

Program TV SUKSES yang asal telah memenangi Anugerah Program Pembangunan Usahawan daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) sewaktu Mesyuarat Agung ke-41 yang diadakan di New Delhi, India pada tahun 2018.

Applying for business financing is now easier with MySMEBank online application

APPLY NOW
custom_html
HUBUNGI KAMI
Hubungi Kami:
Menara SME Bank,
Jalan Sultan Ismail,
50250 Kuala Lumpur

Tel: +603 2603 7700