previous arrow
next arrow
Slider

MICRO ICONMikro

Pembuatan - Jualan Tahunan < RM300,000 ATAU Pekerja < 5

Perkhidmatan & Sektor Lain - Jualan Tahunan RM300,000 ATAU Pekerja < 5

SMALL ICONKecil

Pembuatan - Jualan Tahunan RM300,000 < RM15 juta ATAU Pekerja Dari 5 hingga < 75

Perkhidmatan & Sektor Lain - Jualan Tahunan RM300,000 < RM3 juta ATAU Pekerja Dari 5 hingga < 30

MEDIUM ICONSederhana

Pembuatan - Jualan Tahunan RM15 juta ≤ RM50 juta ATAU Pekerja Dari 75 hingga < 200

Perkhidmatan & Sektor Lain - Jualan Tahunan RM3 juta ≤ RM20 juta ATAU Pekerja Dari 30 hingga < 75

Acara Akan Datang

Tiada acara buat masa ini. 

KUALA LUMPUR: 23 Mei 2022 – Seiring semakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, SME Bank menyemak semula Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 25 mata asas menjadi 6.45% berkuat kuasa 1 Jun 2022.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “Kali terakhir pihak Bank menyemak semula BFR adalah pada 17 Julai 2020 dengan kadar 6.20%. Tempoh pembiayaan pelanggan kekal tidak berubah manakala jumlah ansuran akan disemak sewajarnya.”

(Dr.) Aria mengulas, “Sokongan kepada PKS terus kukuh apabila negara mencatatkan pertumbuhan ketara dalam pengeluaran pembiayaan modal kerja sebanyak 21.2% pada S1 2022. Di SME Bank, kami mengambil pendekatan proaktif untuk mengurangkan kesan semakan OPR terhadap PKS. Pelbagai kemudahan pembiayaan khusus sedia ada serta program pembiayaan yang diumumkan semasa Belanjawan 2022 seperti Dana Usahawan Muda 2.0 sebanyak RM100 juta, Dana Promosi IBS 2.0 sebanyak RM200 juta  dan Dana Permodalan Semula PKS sebanyak RM200 juta disediakan kepada PKS.”

Ketua Pegawai Perniagaan SME Bank, Nurbayu Kasim Chang berkata, “Syer pasaran SME Bank dalam kalangan Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menyokong PKS adalah ketara iaitu sebanyak 43.2%. Ini menunjukkan pendekatan yang diambil oleh SME Bank dalam menyediakan kemudahan kewangan dan sokongan bukan kewangan kepada PKS adalah berkesan dan memenuhi keperluan usahawan.”

Nurbayu menambah, “Siri jelajah Program SME Bank Jom Xcess 2022, yang menawarkan akses kepada kemudahan pembiayaan dan program pembangunan usahawan di enam wilayah di seluruh negara akan bermula di Kedah pada 1 Jun 2022 dan ia akan diteruskan sehingga November 2022. Program Jom Xcess 2021 SME Bank yang diadakan secara hibrid telah memanfaatkan lebih 2,800 peserta dan sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM43.24 juta.”

SME Bank akan mengemas kini butiran lanjut mengenai siri jelajah Program SME Bank Jom Xcess 2022 di platform media sosialnya. Usahawan digalakkan untuk mengikuti platform ini bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai program pembangunan usahawan dan kemudahan pembiayaan terkini SME Bank. Layari laman web rasmi SME Bank di www.smebank.com.my atau hubungi Pusat Hubungan Pelanggan SME Bank di 03–26037700 untuk mendapatkan bantuan.

Kuala Lumpur, 17 Mei 2022 – Memelihara kestabilan kewangan negara kekal menjadi keutamaan Bank Negara Malaysia (BNM) berikutan keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2% selepas hampir dua tahun berada pada kadar terendah 1.75% sejak Julai 2020.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, (Dr.) Aria Putera Ismail mengulas, “Jelas, BNM memberi tumpuan untuk memastikan dasar monetari kekal akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan. Ini terutamanya melihat kepada kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan yang membolehkan ekonomi menghadapi sebarang kejutan luaran.”

“Memandangkan ekonomi domestik berkembang pada landasan yang lebih kukuh, kami menjangkakan tahap akomodasi monetari akan dikurangkan secara berhati-hati dan beransur-ansur, terutamanya dalam persekitaran kestabilan harga,” tambah (Dr.) Aria.

Ketua Pegawai Risiko Kumpulan SME Bank, Mohammad Azam Ahmad, yang menyelia kredit, pasaran, mudah tunai dan pengurusan operasi risiko berkata, “Melalui pelbagai usaha yang dijalankan oleh Kerajaan untuk memulihkan ekonomi ketika negara memasuki tahap endemik, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5% pada S1 2022 berbanding 3.6% pada S4 2021. Ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik kerana aktiviti ekonomi terus pulih seiring dengan pelonggaran langkah pembendungan serta pertumbuhan eksport yang kukuh. Peningkatan itu juga mencerminkan pemulihan dalam pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1% (S4 2021: 4.3%), didorong oleh penyertaan buruh dan prospek pendapatan yang lebih baik.”

Mohammad Azam menambah, “Aktiviti ekonomi dijangka bertambah kukuh apabila kesan positif peralihan kepada fasa endemik terus dialami oleh semua sektor ekonomi, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Daripada segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus memacu pertumbuhan ekonomi, masing-masing berkembang sebanyak 6.5% dan 6.6%.”

Walau bagaimanapun, tekanan inflasi telah meningkat dengan mendadak berikutan kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tegang dan keadaan permintaan yang kukuh, terutamanya di AS. Beberapa buah bank pusat telah mengetatkan tetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas untuk mengurangkan tekanan inflasi. Pada Mac 2022, inflasi utama Malaysia tidak berubah pada 2.2% manakala inflasi teras meningkat sehingga 2.0% (Feb: 1.8%). Ini mencerminkan pelarasan harga di tengah-tengah kos yang lebih tinggi dan keadaan permintaan yang bertambah baik, dengan kenaikan harga menjadi lebih ketara khususnya untuk barangan makanan disebabkan faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global yang lebih tinggi.

Walaupun dalam keadaan positif pada masa ini, kita tidak boleh mengabaikan risiko penurunan pertumbuhan yang disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meningkat, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, perkembangan buruk berkenaan COVID-19 dan peningkatan turun naik pasaran kewangan.

(Dr.) Aria berkata, “Sebagai peneraju utama Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) di negara ini yang diberi mandat untuk memupuk dan membangunkan PKS di Malaysia, SME Bank akan terus menyokong PKS melalui pelbagai program pembiayaan dan pembangunannya yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan PKS.”

(Dr.) Aria menambah, “Secara khusus, melalui SME Bank Relief Program, pelanggan Bank daripada sektor pelancongan dan pengangkutan awam telah menerima moratorium selama 24 bulan dari Oktober 2020 hingga September 2022 dengan lanjutan tempoh kumulatif / tempoh pembiayaan sehingga 60 bulan. Bantuan diberikan dalam bentuk penangguhan pembayaran prinsipal dan kadar keuntungan pembiayaan. Usaha ini telah banyak membantu usahawan dalam menguruskan keperluan kewangan mereka untuk mengekalkan perniagaan.”

Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM38 bilion kepada lebih 21,000 PKS. Selain bantuan kewangan, sokongan juga diberikan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan keupayaan usahawan oleh anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR). CEDAR telah melatih lebih 62,000 orang peserta melalui pelbagai program pembangunan PKS.

Pelanggan SME Bank yang menghadapi kesukaran pada masa kini digalakkan untuk berhubung terus dengan Pengurus Perhubungan masing-masing untuk mendapatkan bantuan. Sebagai alternatif, mereka boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan SME Bank di 03-2603 7700 atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

KUALA LUMPUR: 15 April 2022 – HRSB Holdings Sdn. Bhd. (HRSB Holdings), sebuah syarikat kontraktor Minyak & Gas Malaysia telah berjaya menerima pembiayaan daripada SME Bank yang keseluruhannya bernilai RM132 juta bagi tujuan modal kerja dan pembelian aset untuk melaksanakan kontrak yang diterima mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Presiden Kumpulan HRSB Holdings, Dato’ Mohd Faizal bin Mohd Hassim berkata, “Melalui pembiayaan dan bimbingan yang diberikan oleh SME Bank, HRSB Holdings telah berjaya menjadi kontraktor pilihan dalam industri Minyak & Gas di Malaysia antaranya oleh PETRONAS. Dengan adanya tenaga kerja yang cekap serta kemudahan yang lengkap, HRSB Holdings berkeupayaan untuk menjalankan tiga projek Turnaround (TA) pada masa yang sama.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, “Hubungan perniagaan antara SME Bank dengan HRSB Holdings pada peringkat awalnya bermula melalui pembiayaan Skim Siswazah Muda pada tahun 2007. Melihat kepada penilaian serta prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh HRSB Holdings, pihak Bank telah menyalurkan bantuan pembiayaan tambahan melalui Pembiayaan Kontrak SME Bank bagi membantu perniagaan mereka berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.”

“Sebagai nilai tambah untuk pelanggan kami, HRSB Holdings turut terpilih untuk menyertai Program TITAN SME Bank, sebuah program pembangunan usahawan peringkat tinggi.  Peserta Program TITAN akan dibimbing untuk mencapai penilaian RM1 bilion atau bersamaan dengan 500% CAGR (Kadar Pertumbuhan Tahunan Majmuk) dalam tempoh lima tahun,” ulas Dr. Aria.

Dato’ Faizal turut menambah, “Melihat kepada objektif perniagaan jangka panjang, selain industri Minyak dan Gas, HRSB Holdings telah mempelbagaikan perkhidmatannya yang merangkumi sektor Telekomunikasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pembuatan Produk Pengguna, Infrastruktur dan Pembinaan. Ini selari dengan matlamat HRSB Holdings untuk berdaftar sebagai syarikat awam (Berhad) yang tersenarai dalam pasaran Bursa Malaysia pada tahun 2024 serta mencapai hasil jualan tahunan berkumpulan sebanyak RM1 bilion, seiring sasaran Program TITAN SME Bank.”

Antara kontrak berskala besar dan bernilai tinggi yang telah disempurnakan oleh HRSB Holdings termasuk Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) bagi Integrated Turnaround Main Mechanical and Maintenance Mechanical Static (TA4MS) untuk PETRONAS dan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi Projek Effluent Management at Source (EMAS) untuk Malaysian Refining Company Sdn. Bhd. (MRCSB).

HRSB Holdings telah memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Bersepadu (IMS) ISO 9001:2015, ISO 14001:2015 dan ISO 45001:2018; serta sedang berada dalam fasa pendigitalan dengan menerapkan penggunaan pelbagai perisian komputer bagi menjalankan tugasan harian dan pengurusan operasi projek.

Majlis penyerahan simbolik pembiayaan tersebut telah disempurnakan oleh Dr. Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank kepada Dato' Hj. Mohd Faizal bin Hj. Mohd Hashim, Presiden HRSB Holdings Sdn. Bhd.

 

KUALA LUMPUR: 16 Mac 2022 – Seramai 153 orang pekerja bukan eksekutif SME Bank bakal menerima manfaat apabila Bank tersebut secara rasmi telah memperbaharui Perjanjian Kolektif (CA) dengan Kesatuan Sekerja Komersial Kebangsaan (NUCW) yang mewakili Kesatuan Sekerja SME Bank bagi tempoh Julai 2019 hingga Jun 2022 pada hari ini.

Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, “Majlis pada hari ini menunjukkan satu kerjasama dan persefahaman yang erat antara pihak Bank dan ahli kesatuan sekerja. Penambahbaikan yang dimasukkan di dalam CA ini ialah kenaikan gaji pokok, semakan semula faedah perubatan dan kemasukan ke hospital, skim bantuan pemilikan motosikal serta faedah bersalin.”

“Rangka Kerja Ganjaran dan Faedah Bank yang baharu ini dilihat akan mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi yang diamalkan oleh SME Bank. Selain itu, inisiatif ini akan membantu kakitangan terlibat menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi sekarang,” tambah Dr. Aria.

Pengerusi AJK Dalaman NUCW SME Bank, Saipul Mat Ramli berkata, “Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Bank kerana telah berjaya mengekalkan hubungan harmoni antara kedua-dua pihak serta sentiasa memastikan kebajikan dan keperluan kami, pekerja bukan eksekutif, dijaga dengan baik. Penambahbaikan CA ini akan menjadi pembakar semangat untuk kami terus memberi yang terbaik kepada SME Bank.”

Untuk meningkatkan kemahiran kakitangan bukan eksekutif, SME Bank sejak tahun lepas juga turut menganjurkan ‘Program Upward Mobility’ bagi 50 orang kakitangan melalui kolaborasi dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Selain itu, seramai 15 orang kakitangan ‘Top Talents’ daripada kategori eksekutif dan ke atas telah ditaja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia.

SME Bank kini mempunyai 1,064 orang kakitangan dan beroperasi melalui 26 buah cawangan di seluruh negara. Sejak penubuhannya pada tahun 2005, SME Bank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM38 bilion dan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank telah melatih lebih 62,000 orang peserta melalui pelbagai program latihan keusahawanannya.

Perjanjian Kolektif SME Bank ini telah ditandatangani oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail dan Ketua Perhubungan Perusahaan SME Bank Muhammad Razif yang mewakili pengurusan SME Bank dengan Saipul Mat Ramli dan Yusli Abdul Rafat yang mewakili kakitangan SME Bank. Mewakili NUCW pula ialah Presiden, Muhammad Safizan Bin Seman dan Setiausaha Agung, Jil Afril Bin Jamaluddin. Majlis menandatangani CA ini disaksikan oleh T.M. Rajeswaran, Setiausaha Eksekutif NUCW dan Muhammad Rashdan Kamaruddin, Ketua Penyelesaian Prestasi & Keupayaan SME Bank.

Applying for business financing is now easier with MySMEBank online application

APPLY NOW
custom_html
HUBUNGI KAMI
Hubungi Kami:
Menara SME Bank,
Jalan Sultan Ismail,
50250 Kuala Lumpur

Tel: +603 2603 7700