PETALING JAYA: SME Bank menyemak semula Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 25 mata asas kepada 6.45 peratus berkuat kuasa 1 Jun ini, seiring dengan semakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, kali terakhir pihak bank menyemak semula BFR adalah pada 17 Julai 2020 dengan kadar 6.20 peratus.

“Tempoh pembiayaan pelanggan kekal tidak berubah manakala jumlah ansuran akan disemak sewajarnya.

“Sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus kukuh apabila negara mencatatkan pertumbuhan ketara dalam pengeluaran pembiayaan modal kerja sebanyak 21.2 peratus pada suku pertama 2022.

“Di SME Bank, kami mengambil pendekatan proaktif untuk mengurangkan kesan semakan OPR terhadap PKS.

“Pelbagai kemudahan pembiayaan khusus sedia ada serta program pembiayaan yang diumumkan semasa Belanjawan 2022 seperti Dana Usahawan Muda 2.0 sebanyak RM100 juta, Dana Promosi IBS 2.0 sebanyak RM200 juta dan Dana Permodalan Semula PKS sebanyak RM200 juta disediakan kepada PKS,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan SME Bank, Nurbayu Kasim Chang berkata, syer pasaran SME Bank dalam kalangan Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menyokong PKS adalah ketara iaitu sebanyak 43.2 peratus.

“Itu menunjukkan pendekatan yang diambil oleh SME Bank dalam menyediakan kemudahan kewangan dan sokongan bukan kewangan kepada PKS adalah berkesan dan memenuhi keperluan usahawan.

“Siri jelajah Program SME Bank Jom Xcess 2022 yang menawarkan akses kepada kemudahan pembiayaan dan program pembangunan usahawan di enam wilayah di seluruh negara akan bermula di Kedah pada 1 Jun 2022 dan ia akan diteruskan sehingga November 2022,” katanya.

Tambah beliau, program yang diadakan secara hibrid itu telah memanfaatkan lebih 2,800 peserta dan sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM43.24 juta.

SME Bank akan mengemas kini butiran lanjut mengenai siri jelajah Program SME Bank Jom Xcess 2022 di platform media sosialnya.

Usahawan digalakkan untuk mengikuti platform ini bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai program pembangunan usahawan dan kemudahan pembiayaan terkini SME Bank. – UTUSAN

Source : Utusan Malaysia Online, 24 May 2022