KUALA LUMPUR: SME Bank membawa sembilan syarikat minyak dan gas (O&G) Malaysia untuk mengambil bahagian dalam Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Abu Dhabi sempena Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2022 dari 30 Oktober hingga 4 November 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, SME Bank yang juga dikenali sebagai Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia berkata, syarikat O&G berkenaan adalah peserta Program Eksport Perniagaan (BEP) dan Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (PPKV).

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail, berkata dengan asas ekonomi yang bertambah baik, terdapat keperluan segera bagi PKS untuk berkembang dan menjadikan kehadiran mereka dirasai di peringkat global.

Beliau berkata, BEP dan PPKV adalah platform terbaik untuk mereka merebut peluang dan meluaskan rangkaian pasaran.

Katanya, berdasarkan kepada kesan positif prestasi eksport PKS, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan dana bernilai RM9.5 juta untuk pelaksanaan BEP dan RM5.48 juta untuk PPKV.

Misi ke Abu Dhabi diketuai oleh Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim yang turut memberitahu bahawa matlamat program eksport adalah untuk memupuk dan membangunkan lebih ramai pengeksport Bumiputera bagi tempoh 2020-2025. 

"SME Bank menyasarkan 47 buah syarikat untuk memasuki pasaran baharu atau mengembangkan pasaran sedia ada dan merekodkan jualan eksport tambahan," katanya.

Manakala bagi PPKV, matlamatnya adalah untuk meningkatkan penglibatan syarikat vendor dalam pasaran domestik dan menembusi pasaran antarabangsa melalui akreditasi dan pensijilan serta memastikan syarikat vendor lebih berdaya saing dan berdaya tahan didorong oleh penggunaan teknologi.

Bank itu berkata, PPKV membantu syarikat membina kapasiti dan keupayaan untuk memberi tumpuan kepada keperluan pasaran serta mengoptimumkan produktiviti.

Sehingga Oktober 2022, sebanyak 26 permohonan telah diluluskan dengan geran bernilai lebih RM2 juta untuk program pembinaan kapasiti dan pembelian mesin atau menaik taraf sistem.

Misi Pecutan Eksport ke Abu Dhabi adalah kerjasama antara SME Bank, KUSKOP dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Source : Berita Harian Online, 9 Nov 2022