SME Bank

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) --  SME Bank menyeru perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melakukan apa yang perlu untuk memastikan operasi dan perniagaan mereka terus berkembang di tengah-tengah kenaikan kadar faedah.

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini, menambah 25 mata asas lagi  kepada 2.5 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan SME Bank, Datuk Wira Dr Aria Putera Ismail berkata semakan menaik yang terbaharu mengesahkan pendirian BNM dalam menormalisasikan OPR secara beransur-ansur untuk mengekang tekanan inflasi yang meningkat yang sedang dihadapi negara.

“Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Julai tahun ini, juga melaporkan inflasi negara telah meningkat kepada 4.4 peratus terutamanya disebabkan oleh inflasi makanan yang melonjak kepada 7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2022, berbanding purata lima tahun pra-pandemik sebanyak 3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aria menambah, walaupun trend OPR menaik, ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif,  dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 5.0 peratus pada suku pertama.

“Secara keseluruhan, ekonomi mencatatkan pertumbuhan 6.9 peratus bagi separuh pertama 2022 dan menjangkakan KDNK setahun penuh boleh mengatasi julat unjuran BNM sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus,” jelas beliau.

Memandangkan ekonomi semakin pesat membangun, Aria berkata terdapat kurang keperluan untuk dasar monetari yang lebih longgar untuk mengawal pengumpulan hutang yang berlebihan.

Source: Bernama Online, 9 September 2022