SME Bank

KUALA LUMPUR – Kementerian Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan mempertimbang untuk melanjutkan moratorium kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawahnya yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, namun pemberian moratorium itu akan diberikan secara bersasar mengikut kes tertentu.

“Kita faham ada yang baru nak bangkit, kita boleh pertimbangkan kalau usahawan-usahawan ini memerlukan lagi moratorium kita akan bagi, tapi bank komersil itu di luar bidang kuasa kita.

“Bawah Kuskop kita ada 11 agensi termasuk Bank Rakyat dan SME Bank. Lanjutan itu termasuk kepada usahawan yang terlibat dalam kes mahkamah dan muflis yang akan kita tangguhkan dulu sampai hujung tahun untuk bagi mereka bangkit kembali,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Festival Makanan Halal Tanpa Tunai, di sini hari ini.

Sebelumnya, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengusulkan cadangan supaya PMKS diberikan moratorium khas berikutan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Noh turut memuji usaha Bank Rakyat dalam memperkukuhkan inisiatif transaksi tanpa tunai menerusi Festival Makanan Halal Tanpa Tunai yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Beliau berkata, program ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap kecelikan kewangan daripada tunai kepada platform tanpa tunai dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Saya harap setiap usahawan menggunakan platform tanpa tunai untuk mengembangkan perniagaan dengan memanfaatkan teknologi yang ada.”

“Saya difahamkan penganjuran festival kali kedua ini menyasarkan jualan RM1 juta sejak pandemik tahun 2020 lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Source : Kosmo Online, 19 September 2022