Teks Ucapan

YBhg. Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank
Sempena Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara
SME Bank & MARA

30 Januari 2014

 

Bismillah hirrahman nirrahim

Yang Berbahagia Datuk Ibrahim Ahmad
Ketua Pengarah MARA
Yang Berbahagia Dato’ Adzmy Abdullah
Ahli Lembaga Pengarah SME Bank
Yang Berusaha En. Mohd Rizal Mohd Jaafar
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Kewangan dan
Perkhidmatan Korporat
Yang Berusaha Dr. Sheikh Ghazali Abod
Ketua Pegawai Operasi CEDAR
Para Pengurusan Kanan MARA dan SME Bank
Wakil-Wakil Media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh dan Selamat Pagi

Pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat illahi kerana telah memberi peluang kepada kita untuk berkumpul pada pagi ini bagi merealisasikan satu usahasama yang amat bermakna kepada SME Bank dan MARA melalui Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama yang akan kita saksikan sebentar lagi. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MARA kerana telah sudi menyediakan dewan ini bagi kita menganjurkan majlis di sini.  Terima kasih juga di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang telah memeriahkan lagi majlis ini.

Tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian,

Saya amat bangga untuk menyatakan bahawa kerjasama di antara SME Bank dan MARA sememangnya telah lama terjalin melalui pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan demi pembangunan usahawan di Malaysia.  Peranan ini juga telah diperkukuhkan melalui kerjasama dan aktiviti yang disertai oleh SME Bank dan MARA melalui keahliannya dalam ADFIM atau Association of Development Finance Institution in Malaysia.

Bagi memastikan usahawan Bumiputera mendapat bantuan sewajarnya,  sukacita saya nyatakan di sini bahawa SME Bank sentiasa komited di dalam menjunjung hasrat Kerajaan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera. Sejajar dengan program yang telah diumumkan melalui Bajet 2014, SME Bank telah melancarkan Dana Ekuiti Bumiputera atau EquiBumi dengan peruntukan sejumlah RM300 juta yang telah mula ditawarkan pada awal tahun ini.  Melalui dana ini, usahawan Bumiputera yang berdaya maju dan layak, berpeluang untuk mengambilalih kepimpinan syarikat yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia.  Ini kembali menyemarakkan usaha untuk mengembangkan penguasaan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara.

Komitmen SME Bank bukan sahaja hanya terhad kepada peruntukan di dalam pakej EquiBumi, malah dana lain sebanyak RM200 juta juga disediakan melalui program pembangunan semula Tanah Rizab Melayu di lokasi strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat.  Dengan itu, hasrat pemilik hartanah Bumiputera di lokasi premium ini untuk membangunkan kawasan terlibat akan dapat disokong dan dipercepatkan.

Pada waktu yang sama, dua inisiatif baru ini tidak akan membelakangkan pelbagai dana pembiayaan sedia ada seperti Dana Usahawan Muda (YEF), Tabung Usahawan Siswazah (TUS), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Dana Pembangunan Halal Bumiputera.  Dana-dana ini akan terus disalurkan kepada usahawan-usahawan yang layak dan memerlukan.

Bagi memenuhi aspirasi Kerajaan untuk terus memperkasa ekonomi Bumiputera, pemeteraian kerjasama di antara SME Bank dan MARA yang meliputi program keusahawanan, pendidikan, pelaburan dan pengurusan bakal melihat pelbagai bentuk program dan aktiviti yang sedang dan akan dilaksanakan oleh SME Bank dan MARA secara sinergistik bagi melengkapkan rantaian nilai perniagaan usahawan Bumiputera.

Di dalam bidang keusahawanan misalnya, pelbagai inisiatif baru akan diperkenalkan bagi membangunkan program latihan keusahawanan, pemasaran dan promosi produk, kemudahan premis perniagaan dan perkilangan, penjenamaan serta pelabelan.  Manakala di dalam bidang pendidikan pula, kerjasama ini juga akan melibatkan pembangunan modal insan melalui kolaborasi di antara Institusi Pendidikan di bawah seliaan MARA dan SME Bank berasaskan pendekatan internship dan penempatan bersilang (cross fertilization).

Untuk makluman para hadirin, sejak penghujung bulan Disember 2013 sehingga kini,  pihak SME Bank telah mengenalpasti sebanyak 59 buah syarikat yang merupakan peserta daripada pelbagai program keusahawanan MARA, yang berpotensi besar untuk terus dibangunkan  melalui kemudahan pembiayaan dan program-program pembangunan yang disediakan oleh SME Bank.

Para Hadirin Yang Dihormati Sekalian

Untuk pengetahuan semua, mandat yang didokong oleh SME Bank bukan hanya terhad kepada menyediakan pinjaman sahaja, malah, kita juga turut menyediakan perkhidmatan pembangunan kepada para usahawan.  Perkhidmatan pembangunan yang dijalankan oleh SME Bank meliputi padanan perniagaan, bimbingan pengurusan perniagaan, latihan keusahawanan termasuklah menyediakan premis-premis perniagaan kepada para usahawan menerusi kompleks-kompleks Premis Usahawan yang terdapat di seluruh negara.  Bagi tujuan pembangunan dan latihan modal insan pula, SME Bank melalui anak syarikatnya iaitu Centre For Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) telah menyediakan pelbagai program keusahawanan yang khusus bagi melengkapkan peranan pembangunan yang bermatlamat untuk memastikan pertumbuhan perniagaan usahawan terus mampan sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.  Matlamat utama penubuhan CEDAR adalah untuk meyumbang secara positif kepada ekosistem PKS terutamanya dalam menyediakan perkhidmatan sokongan yang bernilai tambah serta membina budaya keusahawanan.

Akhir sekali, sebelum saya akhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak MARA di atas kesudian untuk menganjurkan majlis pada pagi ini dan semoga kerjasama strategik yang dijalin ini akan berterusan demi membantu usahawan PKS di Malaysia.

Sekian.  Terima kasih

Wasalam Mualaikum Warahmahtullah Hiwabarakatuh