SME Bank Tawar Pakej Pembiayaan Istimewa Sokong Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah

KOTA KINABALU, SABAH: 28 Feb – Kontraktor kelas G1 hingga G7 atau vendor pemegang kontrak Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. akan mendapat pembiayaan istimewa yang diperkenalkan oleh SME Bank untuk memastikan keperluan kewangan mereka terjamin dan mampu menyiapkan projek yang diamanahkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Antara pakej-pakej pembiayaan yang disediakan adalah Contract Financing, i-REACH atau Rolling Expenditure Advance Cash Scheme dan beberapa program pembiayaan lain yang bertujuan menyokong pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Pakej pembiayaan ini adalah sesuatu yang istimewa kerana ia membolehkan para kontraktor atau vendor memulakan projek dengan lebih cepat melalui pengeluaran segera 15% daripada jumlah kelulusan pembiayaan keseluruhan.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, ketika majlis Program Market Outreach Pan Borneo Sabah berkata, “Tujuan utama SME Bank menganjurkan majlis Pan Borneo Market Outreach Sabah pada hari ini ialah untuk menawarkan bantuan pembiayaan atau pembangunan kapasiti secara terus kepada para kontraktor dan vendor yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri Sabah.”

Datuk Mohd Radzif menambah, “Program ini juga merupakan sebahagian daripada program bersama pelanggan SME Bank yang telahpun bermula pada bulan Januari lalu dan telah diadakan di empat lokasi iaitu di Kuala Lumpur, Batu Pahat, Kuching dan Kota Bharu serta akan diteruskan ke seluruh negara.

Di dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan, SME Bank juga telah memperkenalkan satu lagi kemudahan terbaru iaitu, “Book Your Banker” (BYB) melalui Aplikasi Mudah Alihnya yang membolehkan usahawan PKS yang berminat untuk memohon pembiayaan dari SME Bank mendaftar secara atas talian bagi menetapkan tarikh temu janji di cawangan pilihan mereka. Selain daripada itu, khusus kepada kontraktor dan vendor projek Pan Borneo Sabah, SME Bank telah memperkenalkan satu gerbang atas talian yang berfungsi sebagai proses saringan bagi menentukan kelayakan mereka yang ingin membuat permohonan pembiayaan dengan SME Bank.

Komitmen SME Bank dalam membantu usahawan PKS untuk terus maju dan berdaya saing telah diberi pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila menjadi Institusi Kewangan Pembangunan pertama di Malaysia dan di rantau ASEAN diterima menjadi ahli “The Montreal Group” atau secara ringkasnya TMG yang berpengkalan di Kanada. Melalui keahlian ini, SME Bank akan dapat mempelajari amalan terbaik dalam pelbagai bidang seperti tadbir urus, pengurusan risiko, pembangunan modal insan, saluran penyampaian, inovasi produk dan perkhidmatan serta pelbagai piawaian antarabangsa yang berpotensi digunapakai untuk merancakkan lagi pembangunan PKS di Malaysia.

Majlis pelancaran Program Market Outreach Pan Borneo Sabah telah dirasmikan oleh YB. Datuk Seri Panglima Michael Asang, Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN Labuk.