logo_ori

PENAMPANG, SABAH  14 Mei 2014 – SME Bank hari ini menyampaikan hadiah khas tiket penerbangan kepada S.M St. Michael Penampang, Sabah yang telah menjuarai Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2013 bagi menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Pasukan dari S.M St. Michael, Penampang, Sabah telah menghasilkan produk yang diberi nama ‘Easy Pouring Set’ yang telah menambat hati panel juri kerana mempunyai nilai komersil yang tinggi di samping menepati aspek kreativiti dan inovasi. Sekolah ini telah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.00, piala pusingan, sijil penyertaan dan juga hadiah khas tiket penerbangan untuk 5 orang bernilai RM25,000.00 bagi menyertai pertandingan European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2014) yang akan berlangsung di Iasi, Romania pada 22 hingga 24 Mei 2014.

Pihak Bank amat berbesar hati dalam menganjurkan program yang juga sebahagian daripada program Tanggungjawab Korproat SME Bank ini kerana dapat menyumbang ke arah melahirkan lebih ramai golongan pemikir dan bakal usahawan yang berpontensi untuk berjaya di masa hadapan.  Selain daripada menekankan aspek keusahawanan, program ini juga menumpukan fokus kepada aspek rekacipta, inovasi, kerjasama berpasukan dan kepimpinan. Pihak SME Bank telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjayakan program ini selama tiga tahun berturut – turut.  Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah dilancarkan oleh Y.A.B Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan, Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, tahun lalu.

Selain kerjasama dengan KPM, pihak Bank juga telah melantik Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) sebagai rakan strategik yang telah banyak membantu SME Bank dalam memberikan nasihat dalam bidang reka bentuk produk serta menjadi salah seorang panel juri. Bagi tujuan promosi, Berita Harian dan New Straits Times telah dilantik untuk menjadi Rakan Media bagi pertandingan ini.

Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge telah terbukti melahirkan pelajar yang berinovasi apabila juara program ini pada tahun 2012 iaitu Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor dengan produk yang diberi nama Smart Rollator V2 telah memenangi pingat emas bagi kategori Young Inventor dalam pertandingan peringkat antarabangsa, European Exhibition of Creativity and Innovation di Romania pada Mei 2013.

Memandangkan program ini mempunyai nilai tanggungjawab korporat yang amat tinggi bagi mendidik keusahawan di kalangan para remaja,  SME Bank Y-Biz Challenge telah mendapat pengiktirafan “Plaque of Merit” bagi kategori Program Tanggungjawab Korporat daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) yang telah berlangsung di Moscow, Rusia pada 23-25 April 2014.  Kedua–dua pencapaian tertinggi ini amat membanggakan SME Bank kerana usaha murni yang dijalankan telah mendapat penghargaan di peringkat antarabangsa.

Program Inovasi Usahawan Muda – SME Bank Y-Biz Challenge ini mensasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah di bawah KPM di seluruh Malaysia yang aktif dalam Kelab Keusahawanan, Kelab Koperasi dan juga Kelab Usahawan Muda sebagai pesertanya.  Setiap sekolah hanya dibenarkan untuk menghantar satu pasukan yang dianggotai oleh empat orang ahli dan seorang guru pembimbing.  Setiap idea atau produk yang dihasilkan mestilah asli dan menepati kriteria yang telah ditetapkan serta tidak pernah memenangi mana-mana pertandingan.

Sekolah yang berminat untuk menyertai Y-Biz Challenge 2014 hendaklah mengisi dan melengkapkan borang penyertaan. Syarat penuh penyertaan dan borang pertandingan boleh didapati di laman web rasmi SME Bank iaitu www.smebank.com.my, media sosial Facebook: SME Bank Y-Biz Challenge atau terus menghubungi Encik Khairil Anuar Abdul Hadi (03-26153871), Puan Sarah Hanis Abdullah Sani (03-26152915) atau Puan Norhamira Amirsharippudin (03-26152002).  Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 Jun 2014.

Hadiah-hadiah yang menarik dan juga wang tunai bernilai RM66,000.00 menanti para pemenang.  Selain itu, sekolah juga akan menerima trofi, sijil penyertaan dan juara akan membawa pulang Piala Pusingan SME Bank.

Mengenai SME Bank

SME Bank memulakan operasinya pada 3 Oktober 2005 sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (DFI). Ianya diberi mandat khusus oleh Kerajaan untuk membimbing dan membangunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sebagai sebuah bank yang diwujudkan untuk memenuhi keperluan pembiayaan dan pertumbuhan perniagaan PKS Malaysia, SME Bank menjadi pelengkap kepada pelbagai produk dan perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan. Peranan utamanya adalah untuk menyumbang secara aktif terhadap pertumbuhan komuniti usahawan yang lebih cergas di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari:  www.smebank.com.my

Nota untuk Pengarang:

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad adalah nama berdaftar bagi SME Bank. Dahulunya dikenali sebagai Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad.  Bank ini hendaklah dirujuk sebagai SME Bank, tidak mengira bahasa perantara yang digunakan.

Dikeluarkan oleh:
SME Bank
Jabatan Komunikasi Korporat
Aras 12, Menara SME Bank

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Puan Saripah Radziah binti Sayed Hamid
Ketua
Perhubungan Awam & Tanggungjawab Korporat, SME Bank
Tel: +03 2615 3868
Faks: +03-2694 7834
Emel: saripahsh@smebank.com.my