SME Bank Menerbitkan Program Tv “i-SME”

 

KUALA LUMPUR, 3 Disember 2013 – SME Bank telah menerbitkan 13 episod program TV perniagaan “i-SME” yang berkonsepkan kisah kejayaan usahawan yang melalui pelbagai cabaran dan dugaan sebelum mereka berjaya seperti hari ini.

Program yang telah mula bersiaran pada 11 Oktober lalu menemui penonton setiap hari Jumaat, jam 6.30 petang di saluran TV3.  Program TV selama setengah jam yang dihoskan oleh Maya Karin turut memaparkan ciri-ciri yang perlu ada dan harus diterapkan oleh bakal usahawan untuk dijadikan contoh dan teladan dalam menjalankan perniagaan. Dalam masa yang sama slot tips usahawan berjaya oleh para usahawan yang ditemubual serta khidmat nasihat dan bimbingan dari SME Bank juga turut dimuatkan.

Selain memaparkan aspek perniagaan dan kisah usahawan dalam menguruskan operasi syarikat, penonton juga akan dibawa untuk melihat kehidupan para usahawan diluar waktu bekerja dan mengenali dengan lebih dekat lagi setiap personaliti usahawan-usahawan yang dipilih berdasarkan kriteria-kriteria yang digariskan oleh  jawatankuasa pemilihan SME Bank.

Penerbitan program TV perniagaan “i-SME” ini juga adalah selaras dengan hasrat murni kerajaan dalam memperkasakan ekonomi negara dengan memperhebatkan lagi aktiviti pembangunan usahawan dan perniagaan di kalangan usahawan-usahawan PKS.  Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terutamanya agensi-agensi MITI akan terus melaksanakan dasar dan merangka polisi untuk menjayakan agenda transformasi negara dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.

Program TV perniagaan “i-SME” yang telah ditayangkan di TV3 sehingga episod 7, mempromosikan aktiviti-aktiviti syarikat seperti Sani United Berhad sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan bas ekspress (Sani Express) dan hotel (Sani Hotel).  Pemilik syarikat ini adalah Dato’ Wan Mohammad Sani yang merupakan seorang artis sebelum berkecimpung sebagai seorang usahawan perniagaan.  Manakala Gading Kencana Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang berteraskan produk dan perkhidmatan berasaskan tenaga solar.

Usahawan seterusnya yang telah disiarkan dalam episod “i-SME” adalah Perniagaan Wafada Sdn Bhd iaitu sebuah perniagaan milik keluarga Tn. Hj. Md Idris yang diusahakan bersama dengan anak-anak serta menantu beliau yang beroperasi di KLIA dan LCCT, Sepang.  Pelbagai jenis perniagaan telah diceburi antaranya perniagaan retail,  cenderahati  dan  juga  F&B.   Episod  seterusnya  yang akan  disiarkan  dalam “i-SME” turut memaparkan syarikat perniagaan Industrial Quality Management Sdn Bhd yang mengeluarkan komponen automotif bagi beberapa jenama besar automobil seperti Proton dan Perodua.

Antara usahawan-usahawan lain yang terlibat dalam program TV perniagaan “i-SME” yang mewakili syarikat-syarikat yang terpilih adalah:

  • Advance Pact Sdn Bhd adalah syarikat milik Bumiputera yang menyediakan perundingan dan perkhidmatan bagi industri penjagaan kesihatan
  • Sumisaujana TCM Chemicals Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat usahasama tempatan dan antarabangsa yang menyediakan produk untuk tujuan galian (drilling) dan juga merupakan agen eksklusif serta pengedar barangan TCM ke pasaran Asia Pasifik
  • Teras Integrasi Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan memasang dan mengawal selia sistem menimbang untuk kegunaan industri berat
  • Selia-Tek Sdn Bhd sebuah syarikat pengeluar produk acuan suntikan plastik Bumiputera yang menghasilkan aksesori kabel voltan rendah, produk perubatan pakai buang dan sistem pengancing komponen kereta api
  • Amat Sinar Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat Bumiputera yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dalam mengeluarkan produk lampu terutamanya lampu jalan dan sistem lampu “outdoor”
  • Mat Salai Sdn Bhd sebuah syarikat milik usahawan wanita Bumiputera yang terlibat dalam perniagaan kiosk burger berasaskan roti daging salai dan serunding serta minuman dibawah jenama Mat Salai
  • Murni International (M) Sdn Bhd adalah syarikat yang menceburi bidang pendidikan menerusi sebuah kolej yang menawarkan peluang pendidikan berteraskan kejururawatan dan sains kesihatan yang berpusat di Nilai

SME Bank juga turut memaparkan kejayaan pelanggan-pelanggan bukan bumiputera dan dua syarikat bukan bumiputera yang terpilih adalah Bulan Restu Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan bas express yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Zui Xiang F&B Sdn Bhd yang merupakan perniagaan francais berasaskan makanan yang lebih dikenali sebagai “Papparoti” yang beribu pejabat di Johor Bahru.

Para usahawan yang terlibat adalah dari latar belakang yang berlainan seperti dari bidang Inovasi/Teknologi/Teknologi Hijau, Usahawan Muda, Pendidikan, Usahawan Wanita, Usahawan Paling Cemerlang, Usahawan 1Malaysia dan sebagainya.  Diharapkan program ini akan dapat memberi inspirasi kepada bakal usahawan yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.